Tuesday, October 21, 2008

Perkara Sebelum Tidur

dalam ( Tafsir Haqqi )

Rasulullah berpesan kepada Aisyah ra : "Ya Aisyah jangan engkau tidursebelum melakukan empat perkara, yaitu :
1. Sebelum khatam Al Qur'an,
2. Sebelum membuat para nabi memberimu syafaat di hari akhir,
3. Sebelum para muslim meridloi kamu,
4. Sebelum kaulaksanakan haji dan umroh....

"Bertanya Aisyah :"Ya Rasulullah.... Bagaimana aku dapat melaksanakan empat perkaraseketika?"

Rasul tersenyum dan bersabda : "Jika engkau tidur bacalah : Al Ikhlastigakali seakan-akan kau mengkhatamkan Al Qur'an.
Bismillaahirrohmaanirrohiim,Qulhualloohu ahad' Alloohushshomad' lam yalid walam yuulad' walam yakullahuu kufuwan ahad' ( 3 x )
Membacalah sholawat untukKu dan para nabi sebelum aku, maka kami semuaakan memberi syafaat di hari kiamat.Bismillaahirrohmaanirrohiim, Alloohumma shollii 'alaa syaidinaaMuhammad wa'alaa aalii syaidinaa Muhammad ( 3 x )

Beristighfarlah untuk para muslimin maka mereka akan meredloi kamu. Astaghfirulloohal adziim aladzii laa ilaaha illaa huwal hayyul qoyyuumwa atuubu ilaih ( 3 x )

Dan,perbanyaklah bertasbih, bertahmid, bertahlil, bertakbir makaseakan-akankamu telah melaksanakan ibadah haji dan umroh "Bismillaahirrohmaanirrohiim, Subhanalloohi Walhamdulillaahi walaailaahaillalloohu alloohu akbar(3 x )

Sekian untuk ingatan kita bersama.* Kalau rajin..Tolong sebarkan kisah ini kepada saudara Muslim yang lain. Ilmu yang bermanfaat ialah salah satu amal yang berkekalan bagi orang yang mengajarnya meskipun dia sudah mati.

Monday, October 20, 2008

Syawal 1429H

http://www.iluvislam.com/
oleh: lailatulema abbas

'...Allah telah memberkati kamu dengan dua hari yang lebih baik iaitu Aidul Fitri dan Aidul Adha. Kedua hari ini adalah untuk makan-makan dan minum-minum,bergembira bersama dan mengingati Allah.'

Ramadhan berlalu sudah, Syawal pula menjelang tiba sebagai tanda berakhirnya ibadat puasa yang merupakan rukun Islam yang ke empat. Moga setiap amalan yang dikerjakan di bulan Ramadhan berterusan dilaksanakan sehingga bertemu yang seterusnya,insyaAllah.
Syawal merupakan bulan kemenangan bagi seluruh umat Islam setelah berjaya menahan nafsu amarah, dari lapar,dahaga serta mengawal anggota badan daripada melakukan perkara yang dilarang. Namun tidak bermakna berakhirnya Ramadhan di situlah juga penamat kepada segala amalan yang dilakukan bahkan seharusnya ia menjadi pemangkin diri bagi setiap individu muslim untuk terus berada dalam nikmat ketenangan yang telah dirasai semasa Ramadhan dengan meneruskan dan meningkatkan lagi amal ibadat.
Antara penerusan amalan yang boleh dilaksanakan di bulan Syawal ini adalah puasa Enam, sabda Rasulullah s.a.w : ‘Jika seseorang berpuasa semasa Ramadhan kemudian mengikuti dengan enam hari Syawal,ia adalah seperti berpuasa sepanjang tahun.’ (RIwayat Muslim). Oleh itu marilah kita bersama-sama usahakan untuk melaksanakan puasa enam ini di sepanjang bulan Syawal.Selain itu, Syawal juga merupakan peluang untuk umat Islam berkumpul dan merapatkan lagi hubungan silaturrahim serta bermaaf-maafan sesama kita.
"Kamu akan melihat orang-orang yang beriman saling berkasih sayang, saling mencintai, saling mengasihi yaitu bagaikan satu tubuh. Apabila satu anggota saja sakit, maka tertariklah bagian anggota yang lain ikut sakit dengan tidak dapat tidur dan badan panas" (HR. Bukhari Muslim). Walaupun hari raya merupakan masa untuk kita bergembira namun kita perlu mengingati mereka yang kurang bernasib baik berbanding diri kita;mereka yang fakir, miskin dan juga saudara kita di Palestin, Sudan, Kemboja dan di mana jua. Moga ia dapat menambah lagi rasa bersyukur kita serta menggerakkan hati dan anggota untuk bersama-sama membantu mereka yang di dalam kesusahan.
Di bulan yang mulia ini juga sebagai seorang hamba yang beriman kita perlu memperbanyakkan memuji kebesaran Sang Maha Pencipta. “Dan sempurnakanlah puasa kamu mengikut bilangan dari dalam bulan Ramadhan (29 hari atau30 hari) dan bertakbirlah (membesarkan Allah s.w.t.) atas petunjuk-Nya yang diberikan kepada kamu, semoga kamu bersyukur." (Surah al-Baqarah:185)
Oleh itu para sahabat yang dikasihi, janganlah segala usaha dan amalan yang dilaksanakan di bulan Ramadhan disia-siakan begitu sahaja, terusanlah untuk menggapai redha dan rahmat Allah swt, bertakbir,bertahmid dan berzikir lah memuji kebesarannya dan berdoalah agar ditetapkan iman di hati lebih-lebih lagi syaitan yang dibelenggu ketika Ramadhan telah dilepaskan dan kembali untuk meracuni hati hamba-hambaNYA.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, La ilaha illa Allah, Allahu Akbar wa lillahi-l-hamd

Ramadhan Yang Hilang

http://www.iluvislam.com/
oleh: muaz3112

Alhamdulillah, Ramadhan yang kita penuhi dgn amalan-amalan hampir ke penghujungnya. Mungkin ini Ramadhan terakhir kita. Mati itu pasti dan pasti akan berlaku untuk stiap insan yang dilahirkan dengan nama manusia.

Kejayaaan umat akhir zaman ini hanya dalam agama Allah SWT. Sejauh mana kita mentaati perintah Allah dan meninggalkan segala larangannya, sejauh itulah kejayaan kita. Kejayaan di dunia mahupun akhirat. Kita akan bertemu Allah dengan wajah yang tersenyum-senyum ketika di hari perhitungan kelak. Ramadhan yang berlalu bukan bermakna ditinggalkan begitu saja. Mungkin semasa Ramadhan, Al-Quran yang kita simpan dikeluarkan dan dibaca. Namun selepas melaungkan takbir raya pada keesokan hari, Al-Quran itu kembali disimpan di almari berkaca. Kalau ini yang berlaku, bermaksud kita gagal dalam akademi Ramadhan kali ini.

Semua manusia sedia maklum yang Ramadhan ini merupakan bulan makfirah, keampunan, bulan rahmat. Dan ada golongan cerdik pandai pada era kini menamakan bulan ini dengan nama-nama baru seperti bulan bonus, bulan latihan dan sebagainya. Dalam bulan ini lah, pelbagai peristiwa berlaku. Berlakunya peperangan antara yang hak dn yang batil iaitu perang badar. Perang ini di mana bertembungnya antara semulia-mulia dan sebaik-baik manusia, iaitu nabi Muhammad saw berganding bersama penghulu segala malaikat iaitu Jibrail. Pertemuan ini bolehlah diibaratkan antara buku dengan ruas, lawannya ialah sejahat-jahat manusia, iaitu Abu Jahal dan dibantu oleh sejahat-jahat makhluk iaitu syaitan laknatullah. Dalam perang ini, umat islam hanya berjumlah 313 org, dan tidak mempunyai kelengkapan perang yang cukup. Mereka hanya membawa keimanan kepada Allah semata-mata.

Tentera Abu Jahal pula berjumlah berpuluh-puluh ribu bilangannya dan lengkap dengan senjata moden ketika itu. Nabi berdoa supaya Allah memberi kemenangan kepada mereka dan menyelamatkan agama Islam kerana andai kata umat islam kalah dalam peperangan ini, nabi bimbang tidak ada lagi manusia yang akan menyembah Allah selepas itu. Abu Jahal juga berdoa, memohon supaya Allah bagi kemenangan kepada mereka supaya Allah membalas kepada hambanya yang meniggalkan keluarganya dan membawa ajaran yang bercanggah dengan agama mereka. Namun Allah lebih mengetahui tentang segala sesuatu dan memberi kemenangan kepada sesiapa yang benar dan dikehendakinya.

Umat Islam bersama pertolongan Allah berjuang bersungguh-sungguh pada ketika itu dan diberi kemenangan oleh ALLAH SWT. Berbalik kepada Ramadhan yang akan berlalu, institut Ramadhan seharusnya meniggalkan kesan yang mendalam di dalam hati kita. Kesannya kita tidak boleh lihat, namun kita boleh merasai nya. Andai selepas Ramadahan ini kita masih sembahyang subuh jam 7, itu sudah cukup membuktikan bahawa kita sebenarnya gagal untuk memperoleh sijil kelulusan ijazah Ramadhan. Jauh perjalanan kita untuk mencapai 4 flat.

Justeru, marilah kita sama-sama mengamalkan apa yang ada di dalam bulan Ramadhan di bulan-bulan yang lain. Hidupkan amalan-amalan sunat kita dan bersama mencari keredhaan Allah dalam meniti arus kehidupan. Semoga jalan yang kita pilih mendapat keredhaan Allah dan menjadikan kita manusia yang berilmu, beriman, bertaqwa di dunia mahupun akhirat.

Penawar Hati yang Duka

www.iluvislam.com
oleh : Umar Al-Fateh*

Alhamdulillah , segala pujian bagi Allah pencipta sekelian alam. Mengapa kita memuji?..kerana kebiasaan pujian diberikan apabila kita diberikan sesuatu yang berharga.

Apabila orang kaya membantu orang miskin, maka akan dipuji orang tersebut dengan pujian yang selayaknya. Apabila kita bantu orang bina rumah atau kita buat gotong royong, maka akan dipuji ringan tulang.Seorang ibu, bila anaknya patuh dan taat padanya, maka akan dipuji anaknya di merata tempat bahawa dia bersyukur dapat anak sebaiknya.

Siapa Patut Dipuji?

Oleh sebab itulah, kepada tuhan, Allah, kita puji dia, kita ucapkan perkataan-perkataan yang membesarkan dia kerana dalam hidup ini kita tidak pernah menguasai diri kita. Setiap perlakuan kita , Allah yang atur. Nafas, pam darah , kawalan gula dalam darah , penyerapan oksigen dalam paru-paru , sehingga membuang air pun ,Allah yang kawal.

Kita ambil contoh, jika kita yang nak kawal sendiri nafas kita, maka kita boleh kawal nafas kita tak lebih dari 5 minit kita boleh bertahan. Dan pasti, kita akan lelah lepas tu, nafas kita jadi kencang lepas tu. Maknanya di sini, kita tidak boleh kawal nafas kita sendiri. Atau kita nak cuba kawal dari membuang air besar. Maka di sini, kita boleh tahan tak lebih dari 4 hari.Kalau boleh pun, akan sampai satu masa , akan keluar juga atau perut kita akan sakit. Jadi nak tak nak, kena buang air besar jugak. Kerana padanya adalah untuk membuang benda-benda yang tak perlu pada diri kita.

Dan kalau kita nak kawal juga, setara manakah kita boleh kawal? Cuba kita perhatikan ketika kita tidur, siapakah yang mengawal diri kita, nafas, paru-paru, jantung….? maknanya secara keseluruhannya, kita satu habuk pun tak boleh mengawal diri sendiri, tetapi ada kuasa yang mengawal diri ini, itulah Allah.

Apa sifat Tuhan?

Allah ni sifatnya banyak, antaranya, dia maha pengasih, penyayang , kaya. Dan kaya Allah ni sehinggakan dia tak perlukan apa-apa dari makhluknya.

Sebagai contoh, seorang majikan , dia gajikan pekerja dia dari pukul sekian sehingga sekian. Bila pekerja tu buat apa yang disuruhnya, maka gajinya akan diberi sebanyak mana yang dijanjikan.Dan bila pekerja dia buat overtime , maka akan digandakan gajinya. Dan dia tak perlukan duit dari pekerja dia sebab dia majikan dan lebih kaya dari pekerja dia. Tapi kalau pekerja dia ponteng, buat malas, akibatnya dibuang kerja atau dipotong gaji dan sebagainya.
Begitulah Allah, bila kita buat apa yang disuruh, solat, puasa, zakat, haji, cari ilmu maka kita akan diberi ganjaran sebanyak mana yang kita buat sebab tu memang kontrak kita.Dan dila kita buat baik dengan manusia, tolong orang, sedekah, buat baik kat anak yatim, ajar orang mengaji dan lain-lain, maka ganjaran yang akan diberi akan ditingkat lagi. dan jika dalam amalan tu disertai dengan tawaduk , ikhlas , maka akan digandakan lagi.
Begitulah contoh kayanya Allah, ikut suka dia je nak bagi ganjaran banyak mana, dan kekayaan dia tak berkurang.

Sebab itulah kita memuji Allah. Dan disebabkan besarnya kepentingan puji Allah ni adalah untuk semua kebaikan dan kemudahan yang Allah bagi kat kita, maka kita diwajibkan puji Dia 17 kali sehari. Tak boleh kurang tapi lebih tak mengapa. Itulah solat 5 waktu . Dalam fatihah ni, cukup semua sekali syarat iman dan amal. Dan yang mula-mula sekali kita baca adalah Basmalah. Dengan nama Allah yang Maha pengasih lagi maha Penyayang. Pengasih Allah itu buat semua manusia manakala penyayang Allah itu buat golongan beriman sahaja.

Pengasih Tuhan, siapa yang buat dia akan dapat, siapa yang malas, maka dia takkan dapat. Dan penyayang Tuhan itu, diberikannya kebahagiaan, kedamaian dalam kehidupan, kelancaran , kesenangan berurusan, keberkatan rezeki.

Mengapa Sombong?

Dengan sebab semua-semua itu lah , kita tidak boleh berlaku sombong lagi takabbur dalam kehidupan kita. Kerana kita sebenarnya tiada apa-apa untuk disombongkan. Jangan kerana kita sudah berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara , maka kita sudah sombong. Jangan kerana kita lebih cantik sikit, kita dah sombong. Jangan kerana kita kaya kita sombong kerana Allah lagi kaya. Ingat, siapa yang beri kita cantik, kaya, pintar tu semua?…. Allah.

Cuba kita renungkan ayat ini
“apakah manusia itu tidak memerhati sesungguhnya kami menciptakannya dari “nutfah” (sel yang kecil), maka dia menjadi penentang yang nyata”

Begitulah perumpamaan yang Allah bagi, setara mana kita nak sombong atas muka bumi ni? Adakah kerana hubungan kita dengan sesama rakan-rakan lebih rapat berbanding orang lain maka kita mahu sombong? atau kerana kita diberi kelebihan sikit dari orang lain maka kita nak sombong?

Ingat…bila kita nak sombong-sombong ni, kita cuba check balik, dari mana kita datang? Dahulu, kita hanyalah dari titisan air mani sahaja. Satu dari banyak-banyak sperma yang ada. Dan ianya keluar dari 2 tulang sulbi lelaki.Kemudian ia bertukar menjadi embrio, fetus dan menjadilah kita sekarang ni. Dari titisan air itu, kita diberi paras rupa, otak yang cerdik, kekayaan jiwa dan harta yang melimpah ruah. Cuba kita renungkan , siapakah yang beri semua ini??….Allah.

Siapa Penyombong Sebenar?

Dan atas muka bumi ni, orang yang paling sombong adalah orang yang tak nak sujud pada Allah!!..Itu tanda sombong paling besar. Kerana dalam solat, ada satu bahagian yang kita kena sujud pada Allah. Kepala kita letak atas tanah!!Tempat orang jalan-jalan,lalu-lalang. Dan orang yang taknak sujud ni sebab dia dah rasa cukup apa yang ada dan dia tidak perlu pada sesiapa dah. Sebab tu Allah humbankan golongan-golongan ni ke dalam neraka Allah.

Apa neraka tu? Seksaan, jeritan, laungan, kepayahan, kesusahan, kelaparan ,kehausan, kebengisan, bunyi sebatan, bunyi lolongan , kebusukan, kejijikan dan segala jenis keperitan semuanya ada di neraka.

Sebab itu, apabila kita mahu menghindar diri dari neraka , renungilah ayat ini :
“jika kamu beryukur, akan aku tambahkannya bagi kamu, jika kamu kufur, sesungguhnya azabku amat pedih!!”

Tanda kita bersyukur, kita akan membuat apa yang Allah suruh, rukun iman dan islam kita penuhi, membuat baik pada manusia ,tiada umpatan, caci maki, fitnah dan sebagainya. Tanda kita termasuk dalam kufur, kita tinggalkan apa yang Allah suruh dan kita buat apa yang dilarang.

Siapa Tuhan?

Apakah sudah kita tahu apa itu Tuhan sebelum kita berterima kasih (syukur) padanya? Tuhan itulah tempat tumpuan dan matlamat pengabdian, juga tempat kita mencari perlindungan, kepada tuhan juga tumpuan kecintaan. Tuhan sebagai pemberi rezeki juga sebagai sumber perundangan kita. Apabila kelima-lima ciri ini kita kenal siapa itu Tuhan, maka di situ kita akan dapat bersyukur pada Tuhan sekelian alam, Allah.Allah itulah tuhan.

Apabila kita tidak mengenal Tuhan maka perkara yang tidak sepatutnya berlaku.Mengenal tuhan banyak kaitan dengan iman. Tanpa pengenalan kepada Tuhan, maka iman kita tiada kemanisan, umpama gula yang tiada rasa manis garam yang tiada rasa masin.
bila terjadi bergini, lahirlah umat yang hidup pada membesarkan kehidupan dunia. Ketika ummat Islam sudah memuliakan dunia hasil dari hilangnya rasa berTuhan, maka di situ kita akan lihat kehebatan Islam akan tertarik dari mereka. Ketika ummat islam sudah meninggalkan penyeruan kepada kebaikan dan pencegahan pada kemungkaran hasil tidak kenal apa erti Tuhan, maka kita akan melihat keberkatan wahyu tiada pada umat itu. Bilakah zaman itu?…Kita sedang hidup di zaman yang dikatakan itu.

Kenapa kita tak merasa hebatnya Islam?….renung dan fikirkan.
Kenapa kita nampak dunia ni besar dan kita tak nampak akhirat ? Cubalah kita duduk dihadapan sebuah bukit, dan kita letakkan tapak tangan kita depan mata dan tengok bukit besar tu dalam keadaan tangan kita di depan mata. Confirm kita takkan nampak. Tak Nampak. Sampai esok dan bila-bila pun tak nampak. Macam tulah ibarat bila kita besarkan dunia. Kita besarkan dunia, akhirat kita tak nampak, akhirat kita tak ingat, Kebesaran Allah kita tak ingat, seksaan Allah kita lupa, kedahsyatan neraka kita lalai.

* Umar Alfateh merupakan penulis jemputan. Beliau merupakan pelajar perubatan di Russian State Medical University, Moscow. Artikel ini dipetik dari
blog beliau.

Thursday, June 26, 2008

Siapa Lelaki Dayus ?

Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net

Jika sebelum ini saya menulis dua artikel berkenaan aurat dan wanita. Saya juga telah mendedahkan satu email yang mengandungi artikel berkenaan bahaya nafsu lelaki dan sebagai pengetahuan am buat para wanita. Walaubagaimanapun, tidak memadai info-info tersebut tanpa menyentuh satu lagi bab yang amat berkaitan dengannya.
Bab berkenaan suami dan tanggungjawab mereka terhadap isteri mereka dan anak-anak perempuan mereka.


Sebenarnya, bab ini agak panjang kerana terlalu banyak tanggung jawab suami dan ayah terhadap ahli keluarganya. Cuma bagi memudahkan kefahaman, tulisan ringkas ini akan fokus kepada satu isu terlebih dahulu. Iaitu siapa itu lelaki dayus yang dimaksudkan oleh Nabi SAW tidak akan masuk syurga.

Nabi SAW bersabda :-
ثلاثة لا ينظر الله عز وجل إليهم يوم القيامة: العاق لوالديه، والمترجلة، والديوث. رواه أحمد والنسائي
Ertinya : Tiga golongan yang Allah tidak akan melihat (bermakna tiada bantuan dari dikenakan azab) mereka di hari kiamat : Si penderhaka kepada ibu bapa, si perempuan yang menyerupai lelaki dan si lelaki DAYUS" ( Riwayat Ahmad & An-Nasaie: Albani mengesahkannya Sohih : Ghayatul Maram, no 278 )

Dalam sebuah hadith lain pula :
ثلاثةٌ قد حَرّمَ اللهُ - تَبَارَكَ وَتَعَالَى - عليهم الجنةَ : مُدْمِنُ الخمر ، والعاقّ ، والدّيّوثُ الذي يُقِرُّ في أَهْلِهِ الخُبْثَ . رواه أحمد والنسائي .
Ertinya : Tiga yang telah Allah haramkan baginya Syurga : orang yang ketagih arak, si penderhaka kepada ibu bapa dan Si Dayus yang membiarkan maksiat dilakukan oleh ahli keluarganya" ( Riwayat Ahmad )
Malah banyak lagi hadith-hadith yang membawa makna yang hampir dengan dua hadith ini. Secara ringkasnya, apakah dan siapakah lelaki dayus?

ERTI DAYUS
Dayus telah disebutkan dalam beberapa riwayat athar dan hadith yang lain iaitu :-
1) Sabda Nabi : -
وعن عمار بن ياسر عن رسول الله قال ثلاثة لا يدخلون الجنة أبدا الديوث والرجلة من النساء والمدمن الخمر قالوا يا رسول الله أما المدمن الخمر فقد عرفناه فما الديوث قال الذي لا يبالي من دخل على أهله
Ertinya : Dari Ammar bin Yasir berkata, ia mendengar dari Rasulullah SAW berkata : " Tiga yang tidak memasuki syurga sampai bila-bila iaiatu Si DAYUS, si wanita yang menyerupai lelaki dan orang yang ketagih arak" lalu sahabat berkata : Wahai Rasulullah, kami telah faham erti orang yang ketagih arak, tetapi apakah itu DAYUS? , berkata nabi : "IAITU ORANG YANG TIDAK MEMPERDULIKAN SIAPA YANG MASUK BERTEMU DENGAN AHLINYA (ISTERI DAN ANAK-ANAKNYA) - ( Riwayat At-Tabrani ; Majma az-Zawaid, 4/327 dan rawinya adalah thiqat)
Dari hadith di atas, kita dapat memahami bahawa maksud lelaki DAYUS adalah si suami atau bapa yang langsung tiada perasaan risau dan ambil endah dengan siapa isteri dan anaknya bersama, bertemu, malah sebahagiannya membiarkan sahaja isterinya dan anak perempuannya dipegang dan dipeluk oleh sebarangan lelaki lain.

2) Pernah juga diriwayatkan dalam hadith lain, soalan yang sama dari sahabat tentang siapakah dayus, lalu jawab Nabi:-
قالوا يا رسول الله وما الديوث قال من يقر السوء في أهله
Ertinya : Apakah dayus itu wahai Rasulullah ?. Jawab Nabi : Iaitu seseorang ( lelaki) yang membiarkan kejahatan ( zina, buka aurat, bergaul bebas ) dilakukan oleh ahlinya ( isteri dan keluarganya)

Penerangan Ulama Tentang Lelaki Dayus
Jika kita melihat tafsiran oleh para ulama berkenaan istilah Dayus, ia adalah seperti berikut :-
هو الذي لا يغار على أهله
Ertinya : "seseorang yang tidak ada perasaan cemburu (kerana iman) terhadap ahlinya (isteri dan anak-anaknya) (An-Nihayah,2/147 ; Lisan al-Arab, 2/150)
Imam Al-‘Aini pula berkata : "Cemburu lawannya dayus" ( Umdatul Qari, 18/228 )

Berkata pula An-Nuhas :
قال النحاس هو أن يحمي الرجل زوجته وغيرها من قرابته ويمنع أن يدخل عليهن أو يراهن غير ذي محرم
Ertinya : cemburu ( iaitu lawan kepada dayus ) adalah seorang lelaki itu melindungi isterinya dan kaum kerabatnya dari ditemui dan dilihat (auratnya) oleh lelaki bukan mahram " (Tuhfatul Ahwazi, 9/357)

Disebut dalam kitab Faidhul Qadir :
فكأن الديوث ذلل حتى رأى المنكر بأهله فلا يغيره
Ertinya : Seolah-olah takrif dayus itu membawa erti kehinaan (kepada si lelaki) sehingga apabila ia melihat kemungkaran (dilakukan) oleh isteri dan ahli keluarganya ia tidak mengubahnya" ( Faidhul Qadir, 3/327 )

Imam Az-Zahabi pula berkata :-
فمن كان يظن بأهله الفاحشة ويتغافل لمحبته فيها فهو دون من يعرس عليها ولا خير فيمن لا غيرة فيه
Ertinya : Dayus adalah sesiapa yang menyangka ( atau mendapat tanda) bahawa isterinya melakukan perkara keji ( seperti zina) maka ia mengabaikannya kerana CINTAnya kepada isterinya , maka tiada kebaikan untuknya dan tanda tiada kecemburuan ( yang diperlukan oleh Islam) dalam dirinya" ( Al-Kabair, 1/62 )

Imam Ibn Qayyim pula berkata :-
قال ابن القيم وذكر الديوث في هذا وما قبله يدل على أن أصل الدين الغيرة من لا غيرة له لا دين له فالغيرة تحمي القلب فتحمى له الجوارح فترفع السوء والفواحش وعدمها يميت القلب فتموت الجوارح فلا يبقى عندها دفع البتة
Ertinya : Sesungguhnya asal dalam agama adalah perlunya rasa ambil berat (protective) atau kecemburuan ( terhadap ahli keluarga) , dan barangsiapa yang tiada perasaan ini maka itulah tanda tiada agama dalam dirinya, kerana perasaan cemburu ini menjaga hati dan menjaga anggota sehingga terjauh dari kejahatan dan perkara keji, tanpanya hati akan mati maka matilah juga sensitiviti anggota ( terhadap perkara haram), sehingga menyebabkan tiadanya kekuatan untuk menolak kejahatan dan menghindarkannya sama sekali.

Dayus adalah dosa besar
Ulama Islam juga bersetuju untuk mengkategorikan dayus ini dalam bab dosa besar, sehingga disebutkan dalam satu athar :
لَعَنَ اللَّهُ الدَّيُّوثَ ( وَاللَّعْنُ مِنْ عَلَامَاتِ الْكَبِيرَةِ فَلِهَذَا وَجَبَ الْفِرَاقُ وَحَرُمَتْ الْعِشْرَةُ)
Ertinya : Allah telah melaknat lelaki dayus ( laknat bermakna ia adalah dosa besar dan kerana itu wajiblah dipisahkan suami itu dari isterinya dan diharamkan bergaul dengannya) (Matalib uli nuha, 5/320 )

Walaupun ia bukanlah satu fatwa yang terpakai secara meluas, tetapi ia cukup untuk menunjukkan betapa tegasnya sebahagian ulama dalam hal kedayusan lelaki ini.
Petikan ini pula menunjukkan lebih dahsyatnya takrifan para ulama tentang erti dayus dan istilah yang hampir dengannya :
والقواد عند العامة السمسار في الزنى
Ertinya : Al-Qawwad ( salah satu istilah yang disama ertikan dengan dayus) di sisi umum ulama adalah broker kepada zina" (Manar as-sabil, 2/340 , rawdhatul tolibin, 8/186 )

Imam Az-Zahabi menerangkan lagi berkenaan perihal dayus dengan katanya :-
الديوث وهو الذي يعلم بالفاحشة في أهله ويسكت ولا يغار وورد أيضا أن من وضع يده على امرأة لا تحل له بشهوة
Ertinya : Dayus, iaitu lelaki yang mengetahui perkara keji dilakukan oleh ahlinya dan ia sekadar senyap dan tiada rasa cemburu ( atau ingin bertindak), dan termasuk juga ertinya adalah sesiapa yang meletakkan tangannya kepada seorang wanita yang tidak halal baginya dengan syahwat" (Al-kabair, 1/45 )

Cemburu Dituntut Islam & Jangan Marah
Ada isteri yang menyalahkan suami kerana terlalu cemburu, benar cemburu buta memang menyusahkan, memang dalam hal suami yang bertanya isteri itu dan ini menyiasat, saya nasihatkan agar isteri janganlah memarahi suami anda yang melakukan tindakan demikian dan jangan juga merasakan kecil hati sambil membuat kesimpulan bahawa suami tidak percaya kepada diri anda. Kerap berlaku, suami akan segera disalah erti sebagai ‘tidak mempunyai kepercayaan' kepada isteri.

Sebenarnya, kita perlu memahami bahawa ia adalah satu tuntutan dalam Islam dan menunjukkan anda sedang memiliki suami yang bertanggungjawab dan sedang subur imannya.
Selain itu, bergembiralah sang suami yang memperolehi isteri solehah kerana suami tidak lagi sukar untuk mengelakkan dirinya dari terjerumus dalam lembah kedayusan. Ini kerana tanpa sebarang campur tangan dan nasihat dari sang suami, isteri sudah pandai menjaga aurat, maruah dan dirinya.

Nabi SAW bersabda :
من سعادة ابن آدم المرأة الصالحة
Ertinya : "Dari tanda kebahagian anak Adam adalah memperolehi wanita solehah ( isteri dan anak)" ( Riwayat Ahmad, no 1445, 1/168 )

Memang amat beruntung, malangnya tidak mudah memperolehi isteri solehah di zaman kehancuran ini, sebagaimana sukarnya mencari suami yang tidak dayus. Sejak dulu, agak banyak juga email dari pelbagai golongan muda kepada saya menyebut tentang keterlanjuran mereka secara 'ringan' dan 'berat', mereka ingin mengetahui cara bertawbat.

'Ringan-ringan' Sebelum Kahwin
Jika seorang bapa mengetahui 'ringan-ringan' anak dan membiarkannya, ia dayus. Ingin saya tegaskan, seorang wanita dan lelaki yang telah 'ringan-ringan' atau 'terlanjur' sebelum kahwin di ketika bercinta, tanpa tawbat yang sangat serius, rumah tangga mereka pasti goyah. Kemungkinan besar apabila telah berumah tangga, si suami atau isteri ini akan terjebak juga dengan 'ringan-ringan' dengan orang lain pula.

Hanya dengan tawbat nasuha dapat menghalangkan aktiviti mungkar itu dari melepasi alam rumah tangga mereka. Seterusnya, ia akan merebak pula kepada anak-anak mereka, ini kerana benih 'ringan-ringan' dan 'terlanjur' ini akan terus merebak kepada zuriat mereka. Awas..!!
Dalam hal ini, semua suami dan ayah perlu bertindak bagi mengelakkan diri mereka jatuh dalam dayus. Jagalah zuriat anda.

Suami juga patut sekali sekala menyemak hand phone isteri, beg isteri dan lain-lain untuk memastikan tiada yang diragui. Mungkin ada isteri yang curang ini dapat menyembunyikan dosanya, tetapi sepandai-pandai tupai melompat akhirnya akan tertangkap jua. Saya tahu, pasti akan ada wanita yang kata.

"habis, kami ini tak yah check suami kami ke ustaz?"
Jawabnya, perlu juga, cuma topic saya sekarang ni sedang mencerita tanggung jawab suami. Maka perlulah saya fokus kepada tugas suami dulu ye.
Cemburu seorang suami dan ayah adalah wajib bagi mereka demi menjaga maruah dan kehormatan isteri dan anak-anaknya.

Diriwayatkan bagaimana satu peristiwa di zaman Nabi
قَالَ سَعْدُ بْنُ عُبَادَةَ : لَوْ رَأَيْتُ رَجُلاً مَعَ امْرَأَتِي لَضَرَبْتُهُ بِالسّيْفِ غَيْرُ مُصْفِحٍ عَنْهُ ، فَبَلَغَ ذَلِكَ رَسُولَ اللّهِ صلى الله عليه على آله وسلم فَقَالَ : أَتَعْجَبُونَ مِنْ غَيْرَةِ سَعْدٍ ؟ فَوَ الله لأَنَا أَغْيَرُ مِنْهُ ، وَالله أَغْيَرُ مِنّي ، مِنْ أَجْلِ غَيْرَةِ الله حَرّمَ الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَن.
Ertinya : Berkata Ubadah bin Somit r.a : "Jika aku nampak ada lelaki yang sibuk bersama isteriku, nescaya akan ku pukulnya dengan pedangku", maka disampaikan kepada Nabi akan kata-kata Sa'ad tadi, lalu nabi memberi respond : "Adakah kamu kagum dengan sifat cemburu (untuk agama) yang dipunyai oleh Sa'ad ? , Demi Allah, aku lebih kuat cemburu (ambil endah dan benci demi agama) berbandingnya, malah Allah lebih cemburu dariku, kerana kecemburuan Allah itulah maka diharamkan setiap perkara keji yang ternyata dan tersembunyi.. " ( Riwayat Al-Bukhari & Muslim )

Lihat betapa Allah dan RasulNya inginkan para suami dan ayah mempunyai sifat protective kepada ahli keluarga dari melakukan sebarang perkara keji dan mungkar, khasnya zina.

BILA LELAKI MENJADI DAYUS?
Secara mudahnya cuba kita lihat betapa ramainya lelaki akan menjadi DAYUS apabila :-
1) Membiarkan kecantikan aurat, bentuk tubuh isterinya dinikmati oleh lelaki lain sepanjang waktu pejabat (jika bekerja) atau di luar rumah.
2) Membiarkan isterinya balik lewat dari kerja yang tidak diketahui bersama dengan lelaki apa dan siapa, serta apa yang dibuatnya di pejabat dan siapa yang menghantar.
3) Membiarkan aurat isterinya dan anak perempuannya dewasanya terlihat (terselak kain) semasa menaiki motor atau apa jua kenderaan sepanjang yang menyebabkan aurat terlihat.
4) Membiarkan anak perempuannya ber'dating' dengan tunangnya atau teman lelaki bukan mahramnya.
5) Membiarkan anak perempuan berdua-duaan dengan pasangannya di rumah kononnya ibu bapa 'spoting' yang memahami.
6) Menyuruh, mengarahkan dan berbangga dengan anak perempuan dan isteri memakai pakaian yang seksi di luar rumah.
7) Membiarkan anak perempuannya memasuki akademi fantasia, mentor, gang starz dan lain-lain yang sepertinya sehingga mempamerkan kecantikan kepada jutaan manusia bukan mahram.
8) Membiarkan isterinya atau anaknya menjadi pelakon dan berpelukan dengan lelaki lain, kononnya atas dasar seni dan lakonan semata-mata. Adakah semasa berlakon nafsu seorang lelaki di hilangkan?. Tidak sekali-sekali.
9) Membiarkan isteri kerja dan keluar rumah tanpa menutup aurat dengan sempurna.
10) Membiarkan isteri disentuh anggota tubuhnya oleh lelaki lain tanpa sebab yang diiktoraf oleh Islam seperti menyelematkannya dari lemas dan yang sepertinya.
11) Membiarkan isterinya bersalin dengan dibidani oleh doktor lelaki tanpa terdesak dan keperluan yang tiada pilihan.
12) Membawa isteri dan anak perempuan untuk dirawati oleh doktor lelaki sedangkan wujudnya klinik dan hospital yang mempunyai doktor wanita.
13) Membiarkan isteri pergi kerja menumpang dengan teman lelaki sepejabat tanpa sebarang cemburu.
14) Membiarkan isteri kerap berdua-duan dengan pemandu kereta lelaki tanpa sebarang pemerhatian.

Terlalu banyak lagi jika ingin saya coretkan di sini. Kedayusan ini hanya akan sabit kepada lelaki jika semua maksiat yang dilakukan oleh isteri atau anaknya secara terbuka dan diketahui olehnya, adapun jika berlaku secara sulit, suami tidaklah bertanggungjawab dan tidak sabit 'dayus' kepad dirinya.
Mungkin kita akan berkata dalam hati :-
" Jika demikian, ramainya lelaki dayus di kelilingku"
Lebih penting adalah kita melihat, adakah kita sendiri tergolong dalam salah satu yang disebut tadi.
Awas wahai lelaki beriman..jangan kita termasuk dalam golongan yang berdosa besar ini.
Wahai para isteri dan anak-anak perempuan, jika anda sayangkan suami dan bapa anda, janganlah anda memasukkan mereka dalam kategori DAYUS yang tiada ruang untuk ke syurga Allah SWT.
Sayangilah dirimu dan keluargamu. Jagalah dirimu dan keluargamu dari api neraka.
Akhirnya, wahai para suami dan ayah, pertahankan agama isteri dan keluargamu walau terpaksa bermatian kerananya. Nabi SAW bersabda :
من قتل دون أهله فهو شهيد
Ertinya : "Barangsiapa yang mati dibunuh kerana mempertahankan ahli keluarganya, maka ia adalah mati syahid" ( Riwayat Ahmad , Sohih menurut Syeikh Syuaib Arnout)
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net/
17 Julai 2007
p/s : Diizinkan pembaca menyebarkan tulisan ini sejauh mana yang mungkin demi manfaat para lelaki yang berhasrat menjadi penghuni Syurga.